Sedang enak saya tidur, baru sahaja ingin bermimpi, tiba-tiba….nggggggg…
Huh,tetamu tidak diundang!".Tangan terus mencapai bantal untuk menutup muka."
Ngggggg………terus sahaja dia menari-nari di sekitar tempat tidur.Kadang-kadang hinggap di badan.Sekejap ditangan, sekejap di muka.
"Ahhh….pergilah cari jalan keluar!sesat masuk bilik aku buat apa?"saya menengking.
Marahnya saya pada seekor lalat sesat yang masuk ke bilik dan dia telah mengganggu saya beradu.
Masih lagi dia menari-nari di ruangan bilik.
Saya bangun dan terfikir sejenak. Terbangnya si lalat tersebut ke sana kemari berlegar-legar diruangan yang sama. Sekejap disana, sekejap disini.Ah, sungguh menyesakkan pemandangan.Pasti dia ini sesat. Tidak tahu mana arah tuju.Saya kira, jika dia pandai mengeja EXIT, dan mengenali arahnya, pasti dia keluar.Kerana sesungguhnya dia mengetahui, dia berada di tempat yang salah.
Silap langkah, ditampar orang mati.Musibah pula!
Ya! Dia pasti keluar jika tahu arah JALAN KELUAR.
Sunnatullah, sesiapa yang melafazkan keimanan kepada
Allah, pasti diuji.
Ketika ditimpa musibah,ketika itu
tersingkaplah syiar ta'abbudiyyah yang ada dalam diri kita, sama ada ia hidup,
atau tidak.
Salah satu syiarnya adalah=ISTIGHFAR
( مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ
جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا ، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا ،
وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ )
رواه أبو داود
“Sesiapa
yang melazimkan istighfar, Allah
menjadikan baginya dari setiap kesempitan
kejayaan, dari setiap kesusahan jalan keluar dan memberikannya rezeki dari
jalan yang tidak terlintas di hatinya.” …
Hadith
di atas adalah salah satu seruan untuk kita melazimi istighfar.
Umum, kita mengetahui bahawa, junjungan
besar Nabi Muhammad s.a.w, beristighfar setiap hari tidak kurang tujuh puluh.Hakikatnya,
baginda ma'sum.Dan juga dijanjikan syurga.
Jadi, mengapa bersusah payah melafazkan
istighfar? . Bukan sekali dua, malah lebih tujuh puluh kali baginda meminta
keampunan dari Allah 'azza wajalla dalam masa sehari.
MEMOHON KEAMPUNAN.
Istighfar itu, menyucikan diri.Membersihkan
kehidupan manusia dari maksiat yang pernah dilakukannya , melindungi diri dari
pintu murka Allah..
Istighfar itu, pintu kejayaan bagi setiap
kesempitan. Melapangkan beban yang menghimpit dada.
Istighfar adalah JALAN KELUAR bagi setiap kesusahan.
Istighfar itu, membuka pintu rezeki yang tidak
pernah terlintas dihati kita
Istighfar itu, menjadi sebab berkatnya umur dan ajal kita.
Dalam, melaksanakan amanah sebagai khalifah
Allah di atas muka bumi ini, pastinya tidak akan lari dari rasa sempit,sesak,
mahu mengalah, buntu dan sebagainya.Kerana memang sifat amanah itu berat dan
tidak mudah.Membuatkan diri sentiasa terfikir
ingin lari, tetapi tidak tahu ke mana. Tidak jumpa jalannya.
Di saat itu, kita ingatlah kembali bahawa, kita
ini manusia.Sebaik-baik ciptaan.Kita bukan seekor lalat, apabila sesat, terus
berlegar-legar di ruangan yang sama akibat tidak mengenali arah keluarnya..
Maka kita sebagai sebaik-baik ciptaan, pasti
mengenali sang Pencipta.Mengenali arah kita.
Dia yang
menciptakan diri kita.
Dia ciptakan masalah- masalah kita.
Dia juga yang membebankan benak kita dengan
amanahNya.
Tetapi, Dia juga yang menciptakan jalan-jalan
keluarnya.
Dia yang
mengangkat beban dari kita.
Dia yang
melapangkan dada- dada kita , melalui pengampunanNya.
Carilah pintu-pintu keluar di sebalik
rantaian istighfar siang dan malam.
Carilah pintu rezeki dan kejayaan di
sebalik keampunan Tuhan.